Carian claude skills di Malaysia naik sekitar 800% dalam setahun menurut Google Trends, tetapi hampir semua tutorial yang ada dalam bahasa Indonesia atau Inggeris. Panduan ini terangkan apa itu Claude Skills, bila ia berguna, dan cara buat skill pertama untuk kerja marketing anda.
Baru kenal Claude? Mula dengan apa itu Claude AI.
Apa itu Claude Skills?
Skill ialah fail arahan yang mengajar Claude cara anda buat satu kerja. Bayangkan SOP untuk staf baharu: langkah demi langkah, contoh yang betul, dan perkara yang tak boleh dibuat. Bila skill sudah disimpan, anda tidak perlu terangkan semula setiap kali.
Secara teknikal, skill ialah satu folder yang mengandungi fail utama bernama SKILL.md. Fail itu ada:
- Nama skill.
- Penerangan ringkas tentang bila skill itu patut digunakan.
- Arahan langkah demi langkah.
Folder itu juga boleh ada fail sokongan seperti contoh copy, templat atau senarai semak. Claude membaca penerangan ringkas dahulu, dan hanya buka arahan penuh bila tugasan anda sepadan. Sebab itu anda boleh ada banyak skill tanpa memenuhkan perbualan.
Beza Skills, Projects dan prompt biasa
| Cara | Apa ia simpan | Sesuai untuk |
|---|---|---|
| Prompt biasa | Arahan untuk satu perbualan sahaja | Kerja sekali-sekala |
| Projects | Dokumen rujukan dan arahan untuk satu ruang kerja | Satu bisnes atau satu projek dengan bahan rujukan tetap |
| Skills | Cara buat satu jenis kerja, boleh diguna semula | Kerja berulang yang ada langkah tetap |
Ringkasnya, Projects memberi Claude maklumat, manakala Skills memberi Claude cara kerja.
Di mana Skills boleh digunakan
- Aplikasi Claude (web dan desktop). Skills diaktifkan dalam tetapan akaun. Ketersediaan bergantung pada pelan dan boleh berubah, jadi semak dalam tetapan anda atau laman bantuan rasmi.
- Claude Code. Skill disimpan sebagai folder dalam projek anda (
.claude/skills/) atau dalam folder peribadi (~/.claude/skills/). Lihat panduan Claude Code. - API untuk developer yang membina aplikasi sendiri.
Anthropic juga menyediakan skill siap untuk kerja dokumen seperti Word, Excel, PowerPoint dan PDF.
Contoh skill: copywriting iklan Bahasa Melayu Malaysia
Ini contoh isi SKILL.md yang ringkas. Anda boleh salin dan ubah ikut bisnes anda:
---
name: copy-iklan-bm
description: Tulis copy iklan Facebook, caption dan status WhatsApp dalam Bahasa Melayu Malaysia untuk produk peniaga kecil. Guna bila diminta tulis iklan, caption atau ayat jualan.
---
# Copy iklan BM
1. Jika tiada maklumat, tanya dahulu: produk, harga dalam RM, siapa pembeli dan tawaran.
2. Struktur: hook satu ayat, masalah, penyelesaian, bukti, harga, ajakan.
3. Bahasa Melayu Malaysia yang santai, guna "anda". Guna perkataan Malaysia seperti percuma, wang dan telefon, bukan versi Indonesia.
4. Tiada janji pendapatan dan tiada dakwaan kesihatan.
5. Beri 3 versi, setiap satu bawah 80 patah perkataan.
6. Akhir sekali, senaraikan fakta yang perlu saya sahkan (harga, tarikh, stok).
Perhatikan bahagian description. Ia yang menentukan bila Claude akan guna skill ini, jadi tulis dengan jelas: kerja apa, dan bila.
Contoh skill kedua: ringkasan report Meta Ads mingguan
Skill tidak terhad kepada menulis. Ini contoh untuk kerja analisis yang diulang setiap minggu:
---
name: report-meta-ads-mingguan
description: Ringkaskan report Meta Ads 7 hari dan banding dengan minggu sebelumnya. Guna bila saya tampal atau muat naik report iklan.
---
# Report Meta Ads mingguan
1. Susun jadual: campaign, belanja, pembelian, kos setiap pembelian, ROAS.
2. Banding dengan minggu sebelumnya dan tanda perubahan lebih 20%.
3. Tanda iklan yang kos setiap pembelian melebihi RM40.
4. Cadangkan 3 tindakan sahaja, dengan sebab. Jangan buat perubahan sendiri.
5. Tulis ringkasan dalam Bahasa Melayu Malaysia, maksimum 150 patah perkataan.
Tukar angka RM40 kepada had kos anda sendiri. Bila skill ini disimpan, anda hanya perlu tampal report dan tulis "buat ringkasan minggu ini". Cara membaca setiap metrik ada dalam cara baca report Meta Ads.
Cara buat skill pertama anda
- Pilih satu kerja berulang. Contohnya tulis caption harian atau ringkaskan report iklan mingguan.
- Tulis langkah seperti SOP. Apa yang anda akan terangkan kepada staf baharu? Tulis itu.
- Tulis penerangan yang tepat. Sebut jenis tugasan yang patut mencetuskan skill ini.
- Sertakan contoh yang baik. Satu dua contoh copy yang anda suka lebih berkesan daripada sepuluh peraturan.
- Simpan dan pasang. Dalam aplikasi Claude, skill biasanya dimuat naik melalui tetapan. Dalam Claude Code, letak folder skill di lokasi yang disebut di atas.
- Uji dan baiki. Beri tugasan sebenar. Jika hasil tersasar, betulkan arahan, bukan marah AI.
Anda juga boleh minta Claude bantu draf skill: terangkan cara anda bekerja, dan minta ia susun dalam format SKILL.md.
5 idea skill untuk peniaga dan marketer
- Copy iklan BM seperti contoh di atas.
- Semak report Meta Ads mingguan: banding minggu lepas, tanda iklan yang melebihi had kos, cadang (bukan laksana) perubahan bajet. Lihat Meta Ads dengan AI.
- Balas WhatsApp pelanggan ikut nada jenama, harga semasa dan soalan lazim.
- Brief poster: tukar idea promosi kepada teks poster, saiz dan arahan visual. Lihat Claude Design untuk bahagian reka letak.
- Artikel blog BM dengan struktur tajuk, perenggan pendek dan soalan lazim.
Keselamatan dan had
- Pasang skill daripada sumber yang dipercayai sahaja. Skill boleh mengandungi arahan dan skrip yang akan Claude ikut. Baca isinya dahulu.
- Jangan letak kata laluan atau kunci API dalam fail skill.
- Skill tidak menjadikan Claude tahu fakta baharu. Ia mengajar cara kerja. Harga, tarikh dan dakwaan tetap perlu disemak.
- Kemas kini skill bila cara kerja berubah, contohnya harga produk atau polisi baharu.
Kesimpulan
Claude Skills paling berguna untuk kerja yang anda ulang setiap minggu. Tulis sekali dengan teliti, dan Claude akan ikut cara yang sama setiap kali. Mula dengan satu skill kecil, uji, kemudian tambah. Dr Qim sendiri menggunakan skill untuk kerja harian seperti menyemak iklan, dengan keputusan akhir tetap di tangan manusia.
Jika anda mahu lihat cara guna Claude dan Codex untuk poster, copywriting, Meta Ads dan sales page melalui demo skrin dalam Bahasa Melayu, lihat Tutorial AI Marketing.
Soalan lazim
Apa itu Claude Skills?
Claude Skills ialah folder arahan dengan fail utama SKILL.md yang mengajar Claude cara buat satu jenis kerja. Claude membaca penerangan ringkas skill dan hanya buka arahan penuh bila tugasan anda sepadan.
Apa beza Claude Skills dengan Projects?
Projects menyimpan dokumen rujukan dan arahan untuk satu ruang kerja. Skills menyimpan cara buat satu jenis kerja yang boleh diguna semula. Ringkasnya, Projects beri maklumat, Skills beri cara kerja.
Perlu tahu coding untuk buat Claude skill?
Tidak. Skill yang ringkas hanya fail teks dengan nama, penerangan dan langkah dalam bahasa biasa. Skrip hanya diperlukan untuk kerja yang lebih teknikal.
Boleh guna Claude Skills dalam pelan Free?
Ketersediaan Skills bergantung pada pelan dan boleh berubah. Semak dalam tetapan akaun Claude anda atau laman bantuan rasmi Anthropic untuk maklumat terkini.
Selamat ke pasang skill daripada orang lain?
Hanya jika sumbernya dipercayai. Skill boleh mengandungi arahan dan skrip yang Claude akan ikut, jadi baca isinya dahulu dan jangan simpan kata laluan atau kunci API dalam skill.
Belajar ikut langkah, dalam Bahasa Melayu.
Tutorial video Bahasa Melayu: guna Codex & Claude untuk poster, copywriting, Meta Ads, sales page dan automasi.